Wednesday, 14 December 2016

Tajuk : PENERAPAN NILAI MURNI DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN


Pengenalan :
            Nilai-nilai  murni  merupakan  amalan  baik  yang  perlu  ada  pada  setiap  orang supaya  segala  tindakan  mereka  tidak  menyeleweng  dari  norma-norma  sosial  yang  dikehendaki  dalam  masyarakat.  Nilai-nilai  murni  ini  dapat  melahirkan  insan  yang unggul  dan  utopia  demi  merealisikan  misi  nasional  negara.  Sejajar  dengan  itu,  subjek  Pendidikan  Moral  dan  Pendidikan  Islam  telah  diajar  di  sekolah-sekolah  untuk membentuk  generasi  muda  yang  sentiasa  mengamalkan  nilai-nilai  murni  dalam  kehidupan  mereka.  Selain  itu,  ibu  bapa  juga  perlu  memainkan  peranan  penting  untuk  memastikan  wujudnya  nilai-nilai  murni  dalam  diri  anak-anak  mereka.

  Melahirkan  insan  yang berakhlak  mulia
            Nilai-nilai  murni  penting  dalam  kehidupan  untuk  melahirkan  insan  yang berakhlak  mulia.  Sesungguhnya  berakhlak  mulia  amat  dituntut  dari  sudut  budaya,  peradaban  dan  agama  kita.  Amalan  nilai-nilai  murni  dapat  membentuk  insan  yang  seimbang  dari  segi  jasmani,  emosi,  rohani  dan  intelek.  Kini,  bilangan  pelajar  di  negara kita  sejumlah  5  juta  orang,  jika  tidak  diterapkan  dengan  nilai-nilai  murni  sejak  di  bangku  sekolah  lagi  maka  mereka  akan  menjadi  generasi  yang  akan  merugikan  negara  pada  masa  kelak.  Hal  ini  kerana,  nilai-nilai  murni  akan  mencerminkan  suasana  kehidupan  yang  harmoni  di  Malaysia.  Jelaslah  bahawa  nilai  murni  adalah  amat  penting dalam kehidupan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia demi mencapai keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia.

Membentuk  masyarakat  yang  berpegang  teguh  kepada  ajaran  agama
            Selain  itu,  perlu  adanya nilai-nilai  murni  dalam  kehidupan  adalah  untuk  membentuk  masyarakat  yang  berpegang  teguh  kepada  ajaran  agama.  Kepatuhan  kepada  agama  dapat  membentuk  insan  mulia  yang  sentiasa  patuh  kepada  Tuhan  dan  setia  kepada  negara.  Oleh itu, ibu  bapa  perlu  menerapkan  nilai-nilai  murni  yang  terdapat  dalam  doktrin  agama masing-masing  ke  dalam  jiwa  anak-anak.  Tambahan  pula,  nilai-nilai  murni  yang  berasaskan agama penting  untuk  membentuk  masyarakat yang bersatu  padu. Sudah  terang  lagi  bersuluh, maka jelaslah  bahawa  nilai-nilai  murni  juga  akan  membentuk  masyarakat  yang  alim  dan  berpegang  teguh  kepada  ajaran  agama.

Dapat mengelakkan diri pelajar daripada terjebak dalam pelbagai pengaruh negatif luar
            Di peringkat sekolah pula, didikan moral yang positif dan nilai murni yang diterapkan oleh guru, akan dapat mengelakkan diri pelajar daripada terjebak dalam pelbagai pengaruh negatif luar yang tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Bekas Perdana Menteri, Tun Sri Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan subjek Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah adalah bertujuan memupuk nilai-nilai murni remaja sejak di bangku sekolah. Hal ini demikian kerana negara memerlukan generasi yang berpengetahuan, berwibawa dan berwawasan, berdisiplin, hemah tinggi, dedikasi, berfikiran luas serta positif. Disini jelaslah bahawa diperingkat sekolah juga mempunyai peranan penting bagi memberikan didikan moral dan nilai murni untuk mengelakan pelajar daripada terjebak dengan perkara yang tidak berfaedah.

Guru-guru dan keadaan sekolah yang kondusif
            Guru-guru dan keadaan sekolah yang kondusif boleh membantu para pelajar untuk mewujudkan nilai murni dalam diri mereka. Kewujudan nilai-nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang kokurikulum. Sebagai contohnya, guru-guru yang menunjukkan sikap positif boleh menjadi role model kepada para pelajar. Tambahan pula, keadaan sekolah yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan pembelajaran dapat memudahkan para pelajar belajar dan seterusnya dapat memupuk sikap posif dalam diri mereka. Begitulah caranya sekolah dapat membantu para pelajarnya menjadi seorang yang memiliki nila-nilai murni dalam diri mereka. Jelaslah bahawa guru-guru dan keadaan sekolah yang kondusif juga boleh membantu para pelajar mewujudkan nilai murni dalam diri mereka.

Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat terhadap anak-anak
            Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada hari ini terlalu materialistik dan mementingkan kemewahan. Oleh itu, tanggapan sesetengah pihak yang menganggap kononnya nilai kasih sayang yang boleh ditukar ganti dengan harta benda merupakan satu kesilapan besar. Sebenarnya, gejala sosial yang semakin berleluasa ini berpunca daripada kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa terlalu sibuk dan tiada masa untuk menerapkan nilai-nilai murni kekeluargaan seperti kesopanan, adab dan kelakuan yang baik kepada anak-anak. Oleh itu, dalam usaha memupuk nilai murni dalam diri anak-anak, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin terhadap anak mereka bagi membina sebuah keluarga yang harmoni.

Kesimpulan :
            Kesimpulannya, Amalan nilai murni amat mustahak untuk negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia. ‘Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi’, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dan amalan nilai murni dalam kehidupan masyarakat kita. Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan sebelah pihak sahaja  untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Sebagai hasilnya, negara akan memiliki rakyat yang produktif dan berkualiti.

3 comments: